admirer

Thursday, September 19, 2013

SEIKHLAS KELAPA TUA..

"Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa yg ambil kira atau ambil peduli.."



Kelapa tua. Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup manusia.

Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diendahkan orang. Kelapa tua tidak pernah menjadi topik perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan dapat merasakan dan menyelami perasaannya. Itulah kelapa tua.

Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak mempedulikannya. Dia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai bila ditiup angin.

Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pokoknya sambil menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang tinggi itu, datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Tidak sabar menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena jolok-jolok macam tu. Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu pula bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah. Waduh! Kalau calang-calang buah, boleh berkecai. Kalau kepala orang, boleh bersepai otak.

Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru muqaddimahnya. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyakkoyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk. Proses ini bukan sekadar sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya. Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja yang tinggal.

Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang seperti ini. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersembur dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini baru permulaan. Banyak lagi seksaan yang menanti. Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang di bakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut.

Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu, diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau hendak dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian ia ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.

Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hingga terkeluar minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak ke seluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya: “Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?” Orang di dapur hanya menjawab, “Gulai ikan bawal.” Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama. Orang kata, “Oh! Sedap gulai ni.” “Oh! Sedap ikan bawal ni.”

Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa yang ambil kira atau ambil peduli. 

Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja. Bukan untuk dikenang atau untuk mendapat nama, tapi untuk ta’abbud kepada Tuhan. Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak di mata orang, tapi ada dalam perhatian Tuhan!

Saturday, September 7, 2013

Sepi Dalam Ramai.. :'(

"..adalah baiknya kalau kita dapat berhenti seketika, melihat arah dari mana kita datang, menetapkan di mana kita sekarang dan mencari arah yang betul dan jalan sebenar untuk sampai ke destinasi yang kita tuju. Jika perlu, kita ubah haluan.."


Sukar untuk kita sampai ke tempat yang dituju kalau kita tidak tahu arah dan jalannya. Lama lagi kita berjalan dan lagi lagi kita berjalan nescaya lagi jauh kita tersasar dari destinasi yang dituju. Oleh itu, dalam perjalanan, adalah baiknya kalau kita dapat berhenti seketika, melihat arah dari mana kita datang, menetapkan di mana kita sekarang dan mencari arah yang betul dan jalan sebenar untuk sampai ke destinasi yang kita tuju. Jika perlu, kita ubah haluan. Jika mampu kita percepatkan perjalanan. Ini penting dalam perjalanan di dunia. Ia lebih-lebih lagi penting dalam hendak menuju destinasi Akhirat.

Sudah sekian lama kita mengamalkan Islam, tetapi nampaknya semakin lama hidup kita semakin kucar-kacir. Masyarakat kita semakin lintang-pukang. Jenayah dan kemungkaran semakin merebak dan menjadi-jadi. Maksiat dan kelakuan sumbang berlaku di depan mata. Muda-mudi sudah tidak malu dan tidak bermoral lagi. Pemimpin kurang bertanggungjawab. Banyak masa dan tenaga digunakan bukan untuk rakyat tetapi untuk kepentingan diri dan untuk mengekalkan kuasa dan jawatan. Kasih sayang sudah hilang. Perpaduan sudah runtuh. Akhlak sudah punah-ranah. Apa sebab kita masih belum hancur, kita pun tidak tahu. Kalau ikut logiknya, sudah lama kita berperang sesama sendiri. Sudah lama kita berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Tetapi mungkin kita masih ada harapan. Mungkin Tuhan masih memberi kita peluang.

Ini bermakna kita perlu buat perubahan. Kita perlu lihat kepada Islam kita. Adakah Islam kita ini ikut apa yang kita mahu atau ikut apa yang Tuhan dan Rasul mahu? Jelaslah bahawa Islam kita belum sampai ke tahap yang Tuhan dan Rasul mahu. Itu sebabnya kita diberi ingat dengan berbagai-bagai gejala, masalah dan kesusahan. Adakah kita mahu memahami dan mengambil iktibar. Adakah kita mahu menukar haluan dan membuat perubahan supaya kita kembali tertuju kepada Tuhan.

Dalam amalan Islam kita sekarang nampaknya macam semuanya ada. Seperti semuanya lengkap. Namun ada perkara yan sangat ketara yang wujud di zaman Rasulullah dan para salafussoleh tetapi tidak ada dalam Islam kita hari ini. Iaitu persoalan taqwa. Baik ilmunya, penghayatan dan penjiwaannya. Kalaupun kita ada sebut taqwa sekali-sekala tetapi fahamannya jauh tersimpang dari maksud yang sebenar. Hakikatnya kita tidak ada taqwa..!

Walhal taqwalah sumber kekuatan umat Islam. Sebab taqwalah umat Islam dibantu, dibela dan dilindungi oleh Allah. Sebab taqwalah umat Islam diberi kejayaan dan kemenangan. Inilah modal yang tidak ada pada kita hari ini. Itu sebab kita lemah, berpecah belah dan tidak dibantu.Kita datang lagi ke tengah masyarakat untuk memperkatakan tentang taqwa. Memperkatakan tentang perkara yang telah hilang dari kita. Untuk mempromosikan taqwa sebagai modal supaya kita boleh maju dan membangun. Untuk membina kekuatan jiwa dan rohani. Untuk memperkasakan diri, bangsa dan negara. Untuk mengungkai ikatan-ikatan dan belenggu yang mengikat dan menghalang kita selama ini. Supaya kita terlepas dan bebas dari segala ancaman, ugutan dan tekanan. Supaya kita benar-benar merdeka yakni terlepas dari ikatan makhluk dan terikat hanya dengan Tuhan. Yakinlah kita boleh jadi kuat, sekuat mana kita dapat hubungkan hati kita dengan Tuhan.

Suasana hidup sekarang tidak bahagia, alangkah seksanya jika kita hidup berjiran-jiran tidak bertegur sapa, bahkan curiga-mencurigai pula, di tempat bekerja tidak seia sekata, hasad dengki jadi budaya, prejudis satu sama lain, percaya-mempercayai hilang sesama manusia. Di dalam keluarga kasih sayang tiada, anak-anak dan isteri tidak mengikut kata suami sudah tidak ada wibawa, isteri tidak setia. Hidup di dalam masyarakat nafsi-nafsi, susah tanggung sendiri bertemu hanya terpaksa, bukan dari hati kerana fikiran tidak selari. Sekiranya tidak bergaul, kita tidak mungkin boleh hidup sendiri-sendiri. Bergaul pula, aduh sungguh terseksa, rasa bersama sudah tidak ada.

Begitulah di dalam satu masyarakat manusia yang memburu dunia ukhwah tidak ada, Tuhan sudah dilupa, dunia adalah matlamat manusia. Sungguh sepi hidup begini di dunia hari ini tidak ada ceria, tidak ada gembira, tidak ada mesra. Sepi di dalam ramai, berserabut fikiran di waktu bersendirian kecuali orang yang beriman, rasa bertuhan hidup di hati terasa ramai sekalipun keseorangan atau waktu bersendiri. Rasa bertuhan yang menghidupkan hati itulah hiburan orang mukmin, hatinya sentiasa tenang sekalipun di dalam kesusahan susah lahirnya, batinnya tenang, begitulah hati orang mukmin, hiburannya di dalam hatinya.