admirer

Thursday, November 11, 2010

Malaysia sbgai negara Islam??? buktinya?TIADA!!!

Terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan golongan bukan Islam benar-benar memahami akan hakikat ini. Sebab itulah mereka boleh mendatangkan fakta yang tidak dapat disangkal membuktikan yang Malaysia adalah sebuah negara sekular. Malangnya, dengan hanya pengisytiharan oleh seorang pemimpin, banyak pihak cuba menegakkan benang yang basah. Dalam ruangan yang serba sempit ini, kami paparkan sedikit bukti baik secara normatif, empirik mahupun historis yang dapat disaksikan oleh setiap orang yang mempunyai penglihatan dan pendengaran berkenaan hakikat Malaysia sebagai sebuah negara sekular:



(i) Bukti Normatif:



Perlembagaan Persekutuan yang digubal oleh sikafir Lord Reid adalah bukti yang paling jelas meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik, sekular dan berbilang agama dengan kedudukan Islam hanyalah sebagai agama rasmi. Ini diperjelaskan lagi dari peristiwa semasa majlis sambutan harijadi Tunku Abdul Rahman yang ke-81 pada tahun 1983 di mana beliau menegaskan



“Perlembagaan mestilah dihormati dan diikuti. Pernah adanya percubaan oleh segelintir orang untuk cuba memperkenalkan undang-undang agama dan undang-undang moral. Ini tidak dibenarkan. Negara ini mempunyai penduduk berbilang kaum dengan pelbagai kepercayaan. Malaysia mesti terus kekal sebagai negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi”.



Dari sudut ekonomi pula, sistem ekonomi yang diamalkan di Malaysia adalah sistem ekonomi Kapitalis di mana riba menjadi tunjang kepada banyak aktiviti perdagangan, khuususnya perbankan. Judi dan arak dibenarkan dengan hanya memberikan satu tauliah yang dipanggil ‘lesen’. Hak umum rakyat yang wajib disediakan secara percuma oleh pemerintah seperti pendidikan, kesihatan, petrol, air, jalanraya dan lain-lain dikenakan bayaran sesuka hati oleh pemerintah. Ada yang berdalih dengan mengatakan Malaysia adalah negara Islam dengan adanya Bank Islam, pajak gadai Islam (ar-Rahn), universiti Islam dan sebagainya. Mereka jahil bahawa penerapan ‘nilai-nilai’ Islam di dalam sistem Kapitalis tidak sekali-kali menjadikan sistem itu Islam, sebagaimana jika kita melihat Ah Chong atau Muthusami menutup aurat seperti yang dituntut oleh Islam tidaklah menjadikan mereka Muslim.



(ii) Bukti Empirik:



Bukti empirik pula boleh dilihat dengan jelas dari peruntukan Perlembagaan dan undang-undang yang diterimapakai dan diterapkan di negara ini. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa ia adalah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang-undang yang diluluskan bertentangan dengan Perlembagaan, maka ia secara otomatik akan terbatal. Peruntukan ini telah meletakkan Al-Quran di bawah (lebih rendah dari) Perlembagaan dan dengan sendirinya menafikan kedudukan Al-Quran dan Hadis yang sepatutnya menjadi undang-undang tertinggi (dan satu-satunya undang-undang) bagi negara. Kewujudan dua sistem mahkamah (sivil dan syariah) mengukuhkan lagi hakikat yang Malaysia adalah negara sekular (sila rujuk ‘SN117 Konflik Antara Agama’ dan ‘SN125 Sijil Mati Untuk Lina Joy’ untuk penjelasan lanjut). Dari sudut pemerintahan pula, sistem yang dilaksanakan adalah Demokrasi berparlimen – sebuah sistem (sekular) yang dicedok sepenuhnya dari penjajah British. Mengikut ajaran dan amalan sekular, segala undang-undang hendaklah dibuat oleh manusia dan hak Allah sebagai As-Syari’ (Pembuat Undang-Undang) hendaklah diketepikan. Jadi, jika majoriti manusia bersetuju untuk tidak berhukum dengan hukum Allah, maka ini adalah sah menurut amalan demokrasi-sekular. Pendek kata, undang-undang boleh digubal, dipinda atau dihapuskan sesuka hati oleh manusia hanya dengan undi majoriti. Di sinilah peranan agama dinafikan secara total di dalam menentukan kehidupan.



(iii) Bukti Historis:



Hasil dari penjajahan kafir British ke atas Tanah Melayu yang sebelumnya pernah berada di bawah pemerintahan Islam, undang-undang Barat yang berasaskan sekular telah diperkenalkan. British telah memaksa umat Islam menerima undang-undang mereka. Penggantian undang-undang ini tercatat dalam sejarah penentangan hebat oleh para ulama di Tanah Melayu. Penentangan Naning (1831-1832) yang dipimpin Dol Said bermula apabila penjajah memaksa kes jenayah diselesaikan mengikut undang-undang British. Apabila Undang-undang 99 berteraskan Islam diketepikan penjajah, peristiwa ini telah memunculkan penentangan di Perak. Di Kelantan pula, penentangan berlaku apabila British melaksanakan undang-undang berkenaan cukai hasil. Ia dipimpin Tok Janggut (Haji Mat Hassan) dan Engku Besar Jeram dan dibantu oleh Haji Said, Penghulu Adam dan Ishak Merbau di Pasir Puteh. Di Terengganu, gerakan dimulakan oleh Sultan sendiri, kemudian oleh Hj Abdul Rahman Limbong, Haji Musa Abdul Ghani Minangkabau, Syed Saggot dan Tok Janggut (Lebai Deraman). Di Pahang, Dato’ Bahaman, To’ Gajah, Mat Kilau, Mat Kelubi, Panglima Muda Jempul, Mat Lela dan lain-lain telah bangkit meniupkan jihad melawan British yang telah memaksa pelaksanaan undang-undang British menggantikan undang-undang Islam di Tanah Melayu. Namun, penjajah berjaya menguasai politik Tanah Melayu dengan kelicikan dan kekuatan mereka. Sejak itu urusan pemerintahan diurus dengan undang-undang British dan merekalah yang menentukan perjalanan pentadbiran dan pemerintahan berdasarkan sistem sekular mereka yang diwarisi sehingga ke hari ini.

sumber:fb